Tajuk Buku: "Green Deen: What Islam Teaches about Protecting the Planet"
Penulis Buku: Ibrahim Abdul-Matin
Tahun Penerbitan: 2010
Ibrahim Abdul Matin ialah seorang aktivis alam sekitar berketurunan African American yang merupakan anak kepada seorang muallaf yang memeluk agama Islam. Dilahirkan di Brooklyn, New York, Ibrahim Abdul Matin sejak kecil telah diasuh oleh bapanya mengenai kesucian bumi dan penjagaan alam sekitar. Ibrahim Abdul Matin mempunyai pengalaman luas dan rangkaian kerjasama yang aktif dengan pelbagai badan² alam sekitar di Amerika Syarikat. Beliau memperoleh ijazah sarjana (master) dalam bidang Pentadbiran Awam (Public Administration) daripada Baruch College dengan fokus ke atas polisi persekitaran bandar (urban enviromental policy). Berbekalkan ilham daripada nasihat² ayahnya semasa kecil, penulis menggabungkan kaca mata seorang Islam dan pengalaman aktivisme alam sekitar untuk menghasilkan buku ini dengan tajuk "Green Deen".
Buku ini menduduki satu tempat yang istimewa dalam hati aku. Kenapa? Buku ini membincangkan satu topik yang seringkali sunyi daripada perbahasan² agama yang serius dalam kalangan orang Islam sendiri, sedangkan ada banyak ayat² Al Quran dan hadith yang menyentuh soal alam sekitar, larangan pembaziran dan hidup dalam kesederhanaan. Jika kita lihat gerakan² aktivisme dan demonstrasi alam sekitar, kebanyakannya dipelopori oleh gerakan² haluan kiri yang sering dilekatkan dengan stereotaip² negatif.
Tetapi pada masa sama, aktivisme kanan pula kerap mengulang ulang naratif perjuangan identiti sahaja tanpa memberi ruang yang selayaknya diberi kepada topik alam sekitar. Lihat saja demonstrasi² yang ada, kalau mengenai identiti kaum sudah pasti akan dibanjiri peserta² dari seluruh pelusuk negara. Sekiranya demonstrasi mengenai kemusnahan alam sekitar dan desakan penjagaan alam/sumber, biasanya ia sunyi tanpa pengunjung.
Kembali kepada topik asal, iaitu mengenai buku ini. Green Deen ialah satu usaha murni daripada penulis untuk menggabungkan aktivisme alam sekitar dan falsafah teologi agama, menghasilkan satu naratif perjuangan alam sekitar yang bernuansa islami. Perbincangan yang menggabungkan kaitan antara agama dan penjagaan alam ini disebut Eco Theology. Sangat penting dalam dunia materialistik hari ini yang telah menyahsucikan alam, memperkosa bumi ni serakusnya menurut nafsu mereka tanpa sebarang pertimbangan baik dan buruk.
Buku ini merupakan bacaan ringan sahaja. Huraian yang dikemukakan amat mudah difahami oleh pembaca daripada mana² latar belakang pun. Buku "Man and Nature: Spiritual Crisis in Modern Man" oleh Seyyed Hossein Nasr merupakan bacaan falsafah yang lebih berat dan mungkin sukar untuk difahami, namun buku "Green Deen" ini umpama satu medium yang berupaya menjadi pemudah kepada idea² besar Seyyed Hossein dan mencetus keinginan untuk melawat buku Seyyed Hossein yang lebih berat itu. Buku ini ditulis dengan bahasa mudah tanpa perbincangan rumit beserta contoh² pengalaman praktikal penulis sendiri dan kenalan-kenalannya. Namun begitu, penulis tidak mengabaikan peluang untuk menyelitkan teras² penting mengenai falsafah alam sekitar dalam kaca mata manusia beragama yang dibincangkan Seyyed Hossein dalam buku "Man and Nature: Spiritual Crisis in Modern Man" itu.
Premis utama buku ini berpusatkan satu hadith riwayat Tirmizi daripada Rasulullah iaitu:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلَّا الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ
Dari Abu Sa’iid Al-Khudriy radliyallaahu ‘anhu, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam: Bumi ini semuanya merupakan masjid (tempat sujud untuk solat) kecuali kubur dan tempat mandi.
Masjid dalam kesedaran orang Islam merupakan satu tempat yang amat mulia dan suci. Penghinaan ke atas masjid umpama satu penghinaan ke atas orang Islam dan berupaya membangkitkan kemarahan jutaan penganutnya. Namun begitu, tidak ramai yang memiliki sensitiviti yang sama apabila berhadapan isu kemusnahan bumi, sedangkan Rasulullah menyebut bahawa bumi juga ialah "masjid"(tempat bersujud). Bumi ialah sebuah masjid yang lebih besar, dengan segala punca airnya sebagai alat berwudhu. Inilah mesej daripada ayah penulis yang telah menginspirasikan penulis untuk menulis buku ini. Penulis ketika berusia 5 tahun telah diajak mendaki Bear Mountain di New York dan beliau terkejut apabila ayahnya mengajaknya solat di kawasan itu juga. Kata ayah beliau, "bumi ialah masjid".
Kemudian, penulis meneruskan perbincangan dengan memperkenalkan 6 konsep penting dalam teologi agama Islam yang berkait rapat dengan alam sekitar:
1. Tauhid (Percaya segalanya datang daripada Tuhan yang satu). Alam ini dan segala isinya dicipta oleh Allah. Manusia bukan pemilik alam ini, tetapi sebahagian daripada alam ini. Alam ini suci dan puncanya datang daripada Tuhan yang Esa
2. Ayat (Tanda kewujudan Tuhan). Alam ini ialah alamat, yang menunjukkan tanda kewujudan Tuhan. Keindahan alam ialah sebahagian daripada ayat-ayat kebesaran Tuhan. Merosakkan alam ini bermaksud merosakkan tanda-tanda yang penting untuk membawa manusia kepada tauhid dan peningkatan iman.
3. Khalifah. Allah telah mencipta manusia untuk dijadikan khalifah di muka. Khalifah bertanggungjawab menjaga bumi, alam dan manusia sekelilingnya, bukan untuk menguasai dan mendominasi. Manusia merosakkan bumi apabila mereka cuba menguasai bumi seperti raja sedangkan mereka sepatutnya menjaga dan menyelia sesuai dengan penganugerahan kedudukan khalifah Tuhan di muka bumi.
4. Amanah (Kepercayaan). Manusia diberikan kemampuan berfikir dan membuat pertimbangan. Manusia juga diberi kedudukan sebagai khalifah. Kesemua pemberian ini merupakan satu amanah kepada manusia untuk melakukan sehabis baik bagi menjaga alam ini
5. Adl (Adil). Manusia bertanggungjawab menegakkan keadilan di muka bumi. Alam ini dan segala isinya mempunyai hak² tersendiri yang perlu ditunaikan sewajarnya.
6. Mizan (Keseimbangan). Alam ini mempunyai ekosistem yang kompleks. Kesemua hidupan dan bukan hidupan saling terikat kepada satu sama lain dalam jaringan keterikatan yang rumit dan meluas. Kekacauan hanya pada satu titik dalam jaringan ini mampu menyebabkan kekacauan dalam keseluruhan ekosistem dan merosakkan semua titik yang lain. Manusia perlu cakna akan keterikatan dan keterkaitan segala isi alam ini agar keseimbangan terus terpelihara.
Buku ini membincangkan 4 tema besar, iaitu 3 W + 1 F. Waste (Sisa), Watt (Tenaga), Water (Air) dan Food (Makanan). Setiap tema dikupas secara konseptual, dikaitkan dengan 6 prinsip Green Deen yang telah disebutkan tadi (Tauhid, Ayat, Khalifah, Amanah, Adl, Mizan) dan juga diselitkan contoh² usaha praktikal yang dilakukan oleh rakan² kenalan penulis yang beragama Islam di Amerika Syarikat dan Mexico. Biarpun beliau banyak menulis mengenai pengalaman di negaranya sendiri, namun begitu penulis menyimpan harapan besar agar pembaca dari seluruh dunia mampu berasa ada keterikatan hati dengan mesej yang penulis cuba sampaikan.
Tema pertama, Waste (Sisa) pertama dihuraikan dengan menjelaskan isu over consumption (penggunaan berlebihan). Pembaziran dan penggunaan lebih daripada apa yang diperlukan telah menyebabkan sampah sarap dan bahan² tercemar makin banyak terkumpul. Manusia zaman ini yang kekosongan makna menjadikan material dan harga fizikal sebagai kayu ukur kedudukan. Bagi mereka, lebih mahal dan banyak barang yang dibeli dan dipakai, maka lebih mulia kedudukan mereka. Ideologi² ekonomi hari ini juga hanya menganggap manusia sebagai unit pengguna atau pengeluar dan nilai setiap unit-unit itu bergantung kepada berapa banyak yang digunakan atau dihasilkan. Sedangkan dalam konsep agama, manusia memiliki intrinsic worth, nilai sedia ada yang sama tidak kira siapa manusia itu, miskin atau kaya. Apabila manusia mencabut intrinsic worth ini, maka vakum kekosongan ini akan diisi oleh nilai baru yang bergantung kepada material fizikal sebagai kayu ukurnya. Obsesi dengan objek material inilah yang telah menyebabkan tularnya wabak penindasan dan kekejaman di seluruh dunia. Manusia bertukar daripada kerja sebagai Penyelia kepada Penindas.
Penulis kemudiannya menceritakan lagi fasa² gerakan alam sekitar sebagai respons kepada eksploitasi material. Pada awalnya, bebanan tanggungjawab adalah ke atas kerajaan melalui polisi dan dasar, namun pada hari ini gerakan alam sekitar itu bukan sekadar mendesak polisi dan meletakkan beban tanggungjawab ke atas kerajaan, tetapi juga melibatkan peranan aktif semua orang tanpa mengira posisi. Kerajaan melakukan polisi, syarikat membuat pelaburan dan menggalakkan penyelidikan manakala orang biasa pula menyokong dan menjadi pengguna yang lebih bijak. Penulis menceritakan lagi bahawa sebelum kita menghijaukan "masjid besar kita" (baca: alam ini), kita perlu menghijaukan masjid kecil kita dahulu (baca: masjid² orang Islam). Masjid perlu aktif dalam gerakan hijau seperti mengitar semula, mengurangkan penggunaan bahan tidak terurai, dibuka akses kepada pengangkutan awam supaya mengurangkan pergerakan kenderaan bermotor ke masjid itu, membaiki pengudaraan dan kaedah pemanasan agar kebergantungan kepada mesin pendingin hawa dan pemanas dapat dikurangkan serta mendidik imam dan ahli² karyah supaya lebih cakna akan isu alam sekitar.
Tema kedua, Watt (Tenaga) pertama membincangkan punca dan proses menghasilkan tenaga yang kita guna pada hari ini. Penulis membahagikan sumber tenaga kepada dua, iaitu energy from hell (sumber dari kegelapan tanah paling bawah) dan energy from heaven (sumber dari langit). Sumber galian seperti petroleum dan arang batu bukan sahaja tidak lestari malah telah menyebabkan kerosakan yang besar kepada alam ini, daripada kerosakan politik sehinggalah ke ekologi. Misalnya petroleum telah menjadi objek rebutan di Timur Tengah sehingga berlakunya "Operation Ajax" pada tahun 1953 di Iran menggulingkan perdana menteri ketika itu Mohammad Mosaddegh kerana projek nasionalisasi minyak beliau dianggap ancaman kepada hegemoni barat ke atas sumber itu. Limpahan minyak di laut juga telah merosakkan hidupan marin, dan penulis menyebut mengenai "Deepwater Horizon oil spill" oleh syarikat BP yang berlaku di Teluk Mexico pada tahun 2010 dan merupakan tragedi limpahan minyak yang paling teruk dalam sejarah. Projek penggalian arang batu di Amerika Syarikat dengan meletupkan bukit² pula telah menyebabkan kemusnahan ekologi dan sungai² di Banjaran Appalachian. Pada tahun 2004, seorang kanak² lelaki bernama Jeremy Davidson telah terkorban akibat batu besar yang melanggar rumah keluarga Davidson, menyebabkan mereka bertindak menyaman syarikat A&G Coal yang melakukan operasi perlombongan arang di kawasan sekitar tempat tinggal mereka.
Kemudian penulis menyambung kepentingan untuk bertukar kepada sumber tenaga dari langit seperti solar dan angin yang lebih lestari. Penulis mengajak kita supaya selalu berfikir dari mana tenaga kita datang, bagaimana proses mendapatkannya dan adakah sumber itu serta industrinya menyebabkan mudharat kepada manusia. Penulis juga menekankan kepentingan weatherization (membaiki pengudaraan dan pengaliran haba bangunan) untuk menjimatkan tenaga serta menggunakan smart grid untuk memantau sama ada input dan output tenaga seiring atau tidak bagi mengelak pembaziran dan menyelia penggunaan tenaga. Penulis mengambil kesempatan memuji "Weatherization Assistance Program" di Amerika Syarikat yang telah membantu banyak keluarga miskin mengurangkan kos elektrik di rumah² mereka. Penulis menambah lagi kepentingan untuk masjid supaya sentiasa mengoptimumkan penggunaan tenaga dan mematuhi garis panduan LEED (Leadership in Energy and Environmental Design).
Tema seterusnya, Water (Air) membincangkan kepentingan air dalam tamadun manusia. Air bukan sahaja penting untuk fungsi biologi dan kesihatan, malah air memainkan peranan penting dalam falsafah spiritual banyak agama. Kristian terkenal dengan holy water, Yahudi menggunakan air dalam ritual Mikvah dan Netilat Yadayim manakala Hindu memuliakan sungai Ganges. Orang Islam sendiri menggunakan air untuk berwudhu sebelum solat dan dalam Al Quran juga banyak menyebutkan mengenai kejadian manusia daripada air. Rasulullah melarang umatnya membazir air wudhu dan sirah sejarah umat Islam terkenal dengan kisah Uthman bin Affan yang telah membeli dan mewakafkan telaga air Rummah untuk kepentingan awam.
Namun begitu penulis amat terkilan sebab mengapa sesetengah pemain industri seolah olah tidak ambil endah dan terus merosakkan air-air. Contohnya di Jepun syarikat Chisso telah bertahun-tahun mencemarkan air dengan merkuri sehingga penduduk sekitar jatuh sakit dan bayi² mereka pula dilahirkan cacat. Peristiwa itu berlaku di Teluk Minamata, jadi penyakit yang menimpa mereka itu telah dinamakan "Minamata Disease". Penggalian arang batu di Banjaran Appalachian juga telah mengotorkan sungai² yang menjadi sumber air untuk masyarakat sekitarnya. Penulis turut mengenai komuniti yang terlalu bergantung kepada air minuman botol keluaran² syarikat korporat dan kurang melawan untuk mendesak hak untuk memiliki akses kepada air bersih. Botol² yang digunakan dalam industri air minuman ini pula menyumbang kepada pencemaran sampah sarap yang semakin tidak terkawal. Penulis menyambung dengan menyarankan agar kita sentiasa menjimatkan air kegunaan harian kita termasuk air wudhu.
Tema terakhir, iaitu Food (makanan) menyentuh kepentingan memilih makanan terbaik untuk keluarga, mengetahui asal usul makanan kita dan usaha menghasilkan makanan sendiri mengikut kapasiti kemampuan. Syarikat² penternakan haiwan banyak yang berlaku kejam dengan haiwan, projek urban garden dan perkembangan industri halal telah disebut secara ringkas dalam bahagian ini. Penulis menekankan bahawa makanan sepatutnya bukan sekadar halal, tetapi juga perlu toyyiba iaitu baik. Penulis juga mengecam industri junk food seperti yang disebutkan dalam buku ini:
What do you feed cat food to?” he asked. “A cat,” I replied. “What do you feed dog food to?” he asked, “A dog,” I replied in kind. Finally, he asked, “What do you feed junk food to?” He answered his own question: “To people who think they are junk.”
Akhir sekali sebagai penutup, penulis mengkritik gerakan² alam sekitar sedia ada yang baginya hanya menggerakkan kempen² ketakutan dan tidak pandai mendekati perasaan masyarakat terutamanya masyarakat yang beragama. Penulis menekankan lagi bahawa aktivisme alam sekitar merupakan platform yang sangat baik untuk menggalakkan kerjasama masyarakat majmuk daripada semua agama agar dapat bekerjasama untuk masa depan umat manusia keseluruhannya serta menjadikan kepercayaan kepada Tuhan dan kesucian alam sebagai sumber kepada semangat mereka untuk memelihara alam.
Sebagai penutup kepada ulasan ini, mari kita hayati surah Ar Rum ayat 41 ini:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [30:41]
Comments
Post a Comment