Tajuk Buku: "The Woman in The Window"
Penulis Buku: A.J. Finn
Tahun Penerbitan: 2018
Baru-baru ini Netflix telah menayangkan sebuah filem bertajuk "The Woman in The Window" yang merupakan sebuah adaptasi kepada novel dengan tajuk sama yang diterbitkan pada tahun 2018 oleh sebuah syarikat penerbitan di bawah HarperCollins. Buku ini bergenre thriller dan merupakan novel pertama tulisan Daniel Mallory yang menggunakan nama pena "A.J Finn".
Novel ini mengisahkan seorang wanita bernama "Anna Fox", seorang ahli psikologi kanak-kanak yang pada masa yang sama merupakan seorang penghidap "Agoraphobia", sejenis kecelaruan keresahan (anxiety disorder) yang menyebabkan penghidapnya berasa gelisah secara melampau untuk meninggalkan rumahnya dan akan menjadi cemas secara keterlaluan sekiranya berada di tempat terbuka, di dalam kenderaan atau di dalam mana-mana premis tertutup selain rumahnya sendiri.
Lantaran penyakitnya itu, Anna tidak pernah keluar dari rumahnya sendiri selama berbulan-bulan dan perlu mengambil beberapa jenis ubat-ubatan untuk mengawal keresahannya. Anna mengurung dirinya sendiri di dalam sebuah rumah setinggi 4 tingkat di sebuah kawasan perumahan di New York dan menghabiskan masanya menonton filem-filem lama, bermain catur dan berhubung secara maya dengan dengan kenalan² internet melalui laman "Agora", sebuah forum dalam talian yang mengumpulkan para penghidap kecelaruan mental untuk saling berkomunikasi dan menasihati. Anna juga berhadapan dengan masalah ketagihan minuman keras dan gemar mengintip jiran-jiran yang tinggal di sekitar rumahnya melalui tingkap untuk mengambil foto-foto mereka secara senyap dan merekodkan rahsia² sulit mereka.
Dua "tingkap" utama Anna untuk memerhatikan dan mendapatkan maklumat mengenai masyarakat di dunia luar ialah laman² internet dan tingkapnya sendiri secara literal. Selain komuniti maya di laman Agora yang mendapat khidmat nasihat daripadanya dan jiran-jiran yang diintipnya secara sembunyi-sembunyi, hanya beberapa orang manusia sahaja yang pernah berhubung secara dekat dan langsung dengan Anna sepanjang tempoh dia berkurung di dalam rumahnya; David Winters, penyewa ruang bawah tanah rumahnya, Bina, pengamal terapi fizikal yang membimbingnya melalukan senaman, dan Dr Julian Fielding, pakar psikiatri yang bertanggungjawab untuk merawat Anna. Anna tinggal berasingan dengan suami dan anaknya, Ed dan Olivia disebabkan oleh sebuah konflik antara dia dan Ed namun mereka masih tetap berhubung secara kerap.
Pada satu hari, Anna mendapat jiran yang baru iaitu keluarga Russell yang baru berpindah dari Boston ke New York atas urusan kerja. Keluarga itu terdiri daripada 3 orang iaitu Alistair Russell, Jane Russell dan anak lelaki mereka, seorang remaja belasan tahun yang bernama Ethan Russell. Benih-benih awal kegusaran mula disemai, apabila Alistair Russell datang berkunjung ke rumah Anna dan bertanya soalan yang mencurigakan. Alistair bertanya kepada Anna jika ada ahli keluarganya yang pernah datang bertandang. Anna yang sudah dua kali dilawat oleh Jane difahamkan bahawa Alistair merupakan seorang suami yang suka mengawal gerak-geri isterinya. Dengan niat untuk melindungi Jane, Anna memberitahu Alistair bahawa Jane tidak pernah menjejakkan kaki di dalam rumahnya.
Misteri bertambah tebal apabila pada satu petang, Anna terdengar satu jeritan dari rumah keluarga Russell. Anna bergegas untuk menelefon Ethan yang kedengaran resah dan kemudiannya menelefon Russell sendiri sambil memerhatikannya daripada tingkap. Russell kelihatan sedang memegang penukul sebelum meletakkannya untuk bercakap dengan Anna. Suara dan nada percakapan Russell juga kedengaran mencurigakan. Anna melihat Jane berdiri di luar pintu rumah pada malam yang sama, kelihatan seperti sedang melindungi dirinya daripada sesuatu. Pada petang yang sama, Ethan pula datang melawat dalam keadaan yang tidak ceria, menyebabkan Anna bertambah curiga.
Namun perjalanan novel ini benar-benar bermula apabila pada malam berikutnya, ketika Anna sedang menonton filem, dia ternampak Jane melalui tingkapnya, seolah olah sedang bertengkar dengan seseorang. Anna terus memerhati, dan kemudian menjadi panik apabila Jane yang sedang dilihatnya tiba-tiba berlumuran darah dengan objek tajam di dadanya. Anna tidak dapat mengenalpasti siapa yang menikamnya, namun dia terus bergegas menelefon 911 dan melaporkan kecederaan Jane. Anna menggagahkan diri untuk keluar rumah bagi membantu Jane, namun disebabkan oleh agoraphobia yang dihidapnya, dia mendapat serangan panik.
Pihak polis yang membantu Anna kemudiannya mengetahui mengenai dakwaan kes bunuh yang dilaporkan oleh Anna dan memanggil Alistair Russell untuk datang ke rumah Anna bagi mendapatkan keterangan kedua-dua belah pihak. Misteri menjadi semakin berbelit apabila Jane Russell sendiri turut diseru untuk datang memberi keterangan. Yang paling memeranjatkan, Jane Russell yang datang memberi keterangan itu bukan Jane Russell yang dikenali oleh Anna. Bukan Jane Russell yang pernah melawat rumahnya sebanyak dua kali dan bukan Jane Russell yang dilihatnya berlumuran darah dengan objek tajam tertikam di dadanya pada malam itu. Wanita yang didakwa sebagai Jane Russell itu tidak pernah dilihat oleh Anna sepanjang dia memerhatikan dan berinteraksi dengan keluarga Russell.
Anna memberitahu pihak polis bahawa Jane Russell yang datang memberi keterangan itu ialah Jane Russell yang palsu. Alistair pula kelihatan bingung, lalu menyebut bahawa Anna sedang mengalami kecelaruan. Alistair menyatakan bahawa Jane Russell yang dilihatnya itulah Jane Russell yang sebenar dan menafikan bahawa ada kes pembunuhan yang berlaku di rumahnya pada malam itu. Kenyataan Alistair turut disokong oleh Ethan. Tambahan pula, Anna sedang mengalami masalah ketagihan alkohol, mengambil ubat beta blocker yang antara kesan sampingannya ialah halusinasi dan kebetulan sedang menonton filem "Dark Passage" (bergenre crime/noir) yang memaparkan babak pembedahan pada malam itu. Kenyataan Ethan, ditambah pula dengan keadaan kesihatan Anna menyebabkan pihak polis berasa sangsi dengan laporan kes bunuh yang didakwa oleh Anna. Anna kemudiannya terpaksa mengambil tindakan sendiri untuk terus mencari bukti bagi menyokong dakwaannya dan menafikan bahawa dia sedang berhalusinasi.
Novel ini terdiri daripada sekitar 100 bab, dan memiliki lebih kurang 120 000 perkataan yang dimuatkan dalam sekitar 400 muka surat. Novel ini memaparkan kisah Anna, seorang penghidap agoraphobia yang sedang berhadapan dengan konflik misteri Jane Russell dalam garis masa utama, dan kemudian menyelanginya dengan kisah imbas kembali yang memaparkan hubungan antara Anna dan suaminya, Ed sebelum mereka terpisah dalam satu garis masa yang lain. Kita tidak diberitahu bila dan bagaimana Anna menjadi penghidap agoraphobia, namun Anna kelihatan masih tidak ada apa-apa masalah ketika dia masih tinggal bersama Ed dan anak mereka, Olivia.
Permulaan buku ini agak perlahan, memaparkan aktiviti seharian Anna, perincian rumah tempat tinggal Anna dan juga maklumat mengenai jiran² sekitar Anna. Malah ketika membaca 20-30 bab pertama buku ini, aku tidak berasa seperti sedang membaca sebuah buku mystery thriller sehingga lah ketika Anna bertemu dengan Jane yang didakwanya sebagai Jane palsu ketika keluarga Russell sedang menjawab soalan-soalan pihak polis. Sebelum kita sampai ke babak itu, satu-satunya misteri yang menimbulkan tanda tanya ialah sebab Anna tinggal berasingan dengan suaminya dan sebab Anna menjadi penghidap agoraphobia.
Pembaca mula dihujani persoalan demi persoalan. Adakah Anna melihat Jane dibunuh atau dia hanya sekadar sedang berhalusinasi? Bagaimana pula dengan lawatan daripada Jane yang berlaku bukan sekali bahkan dua? Adakah itu juga halusinasi? Momentum cerita novel ini mula bergerak laju, dan beberapa peristiwa misteri yang menggusarkan jiwa terus berlaku sehingga kita mula berasa bahawa Anna sedang bercakap benar, tetapi satu pendedahan besar kemudiannya menyebabkan keyakinan terhadap Anna dipersoalkan semula.
Merentasi novel ini, kita dihidangkan dengan watak Anna yang digambarkan sebagai seorang pencerita yang tidak boleh dipercayai kerana masalah kesihatan dan emosinya. Ketidakbolehpercayaan terhadap Anna menjadi perkakas plot utama yang menggerakkan cerita dan menimbulkan saspens. Satu demi satu peristiwa aneh terus berlaku namun kita tidak dapat terus menerima bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku sebagaimana Anna sangka ia berlaku kerana Anna yang mengalami dan merasai peristiwa² itu sedang mengalami masalah psikologi, mengambil ubat yang boleh menimbulkan halusinasi, dan terlalu obses dengan filem-filem bergenre thriller. Boleh jadi Anna sekadar membayangkan peristiwa itu berlaku, namun boleh jadi juga cerita itu benar-benar berlaku tetapi Anna tidak dapat meyakinkan pihak polis mengenai apa yang berlaku.
Dalam novel ini, Anna merupakan seorang penggemar filem² lama, jadi kita akan didedahkan dengan banyak tajuk² filem yang sedang ditonton Anna berserta maklumat mengenai filem itu seperti babak-babaknya, watak filem-filem itu dan juga quote daripada filem² itu. Antara filem-filem yang dipetik untuk disebutkan dalam novel ini ialah filem² arahan seorang pengarah kisah bergenre thriller yang terkenal iaitu Alfred Hitchcock.
Malah, keseluruhan novel ini sebenarnya mengambil banyak elemen² teras daripada filem "Ever Window", filem arahan Hitchcock yang ditayangkan pada tahun 1954. Filem ini memaparkan kisah seorang lelaki yang terlantar di rumah rumah kerana mengalami kecederaan di kaki dan dia juga turut menyaksikan sebuah jenayah yang berlaku melalui tingkapnya, sama seperti novel "The Woman In The Window" ini. Tajuknya sahaja pun sudah lebih kurang sama. Watak utama dalam filem Hitchcock ini ialah seorang lelaki yang terperangkap di rumah kerana kecederaan kaki tetapi dalam novel ini pula, watak utamanya ialah seorang wanita yang juga terperangkap di rumah tetapi akibat masalah kesihatan mental.
Ada beberapa persoalan menarik dalam novel ini yang aku ingin berikan sedikit perhatian lanjut. Persoalan pertama adalah mengenai demografi para penghidap masalah kesihatan mental. Selain penghidap masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa dan warga tua yang sering berinteraksi dengan Anna di internet, kita turut diberitahu melalui beberapa nukilan ringkas pengalaman Anna sebagai pakar psikologi kanak-kanak bahawa kanak-kanak juga boleh mendapat masalah kesihatan mental. Masalah mental secara umum dalam kalangan orang dewasa pun kurang difahami oleh masyarakat awam lazimnya, apatah lagi kewujudan masalah kesihatan mental dan kecelaruan psikologi dalam kalangan kanak-kanak. Jadi, melalui penceritaan kerjaya Anna sebagai pakar psikologi kanak-kanak dalam novel ini, kesedaran secara tidak langsung mengenai kesihatan mental dan psikologi dalam kalangan kanak-kanak telah disebarkan.
Persoalan kedua yang bakal kita temui dalam novel ini selepas selesai membacanya ialah asal usul sifat manusia. Adakah manusia sudah diprogramkan oleh struktur binaan biologi sejak lahir bahawa mereka akan membesar menjadi sekian dan sekian? Atau adakah manusia dilahirkan dengan minda yang kosong tanpa sebarang contengan sebelum dibentuk oleh pengaruh keluarga dan masyarakat? Dua persoalan ini berbalik kepada isu utama yang melatari persoalan-persoalan psikologi iaitu peranan nature (pengaruh genetik secara semulajadi) vs nurture (pengaruh suasana sekitar) dalam membentuk perkembangan minda dan personaliti manusia, yang baik dan juga yang buruk. Pihak yang berpegang dengan konsep Tabula Rasa mengatakan bahawa manusia dilahirkan dengan minda yang kosong tanpa apa-apa idea secara semulajadi sebelum dicorakkan oleh realiti sosial pada peringkat keluarga dan masyarakat. Pihak yang berpegang dengan Innatism pula menyebut bahawa manusia sudah dilahirkan dengan maklumat-maklumat tertentu yang tertanam secara semulajadi dalam blueprint genetik mereka sejak lahir dan blueprint itu bakal membentuk personaliti mereka tak kira lah personaliti yang baik atau buruk.
Novel ini diceritakan dalam gaya bahasa yang cantik dan menarik tetapi kisahnya tidaklah terlalu mengujakan bagi aku. Masih boleh dibaca dan tetap seronok dibaca tetapi hanya untuk menghabiskan sisa-sisa masa lapang kerana bagi aku novel ini bergerak perlahan. Bahagian awal dan separuh pertama bahagian pertengahan novel ini kurang elemen-elemen saspens yang dapat menangkap perhatian aku. Bahagian terakhir novel ini mendebarkan, tetapi ketika babak-babak yang menimbulkan gusar ini berlaku cerita nya sudah hampir ke penghujung. Novel ini ada dua plot twist, tetapi plot twist pertama itu aku sudah jangka sejak awal lagi. Plot twist kedua yang bagi aku agak menarik dan menyebabkan aku membaca bahagian terakhir novel ini dengan sangat pantas kerana ingin menjawab segala tanda tanya.
Jadi secara ringkas, aku akan mengatakan bahawa novel ini OK, seronok dibaca namun ada novel thriller lain yang bagi aku lebih mendebarkan. Boleh dibaca pada masa senggang untuk sebuah hiburan yang menarik tetapi cukup lah untuk dibaca sekali sahaja dan memperuntukkan masa-masa lapang seterusnya untuk membaca novel-novel lain pula. Ada novel-novel yang aku suka untuk baca semula, tetapi novel ini bukan salah satu daripadanya.
Comments
Post a Comment