Skip to main content

Resensi Filem: "Onward"

Tajuk Filem: "Onward"
Tahun Keluaran: 2020
Negara: US


Filem animasi Disney ini mengisahkan tentang Ian Lightfoot yang baru sahaja mencapai umur 16 tahun. Dia tinggal bersama abangnya, Barley Lightfoot dan ibunya tanpa bapa kerana bapanya telah meninggal dunia sebelum Ian dilahirkan. Ian tidak berpeluang mengenali bapanya dan sering tertanya-tanya mengenai bapanya ketika dia masih hidup.

Ian membesar bersama abangnya Barley tetapi Ian dan Barley merupakan dua watak dengan personaliti yang bertentangan. Ian seorang yang penakut dan tidak berkeyakinan manakala Barley pula sebaliknya, sangat suka berfantasi, berani dan "reckless" merempuh sahaja kehidupan tanpa keraguan.

Mereka tinggal di sebuah dunia yang dipenuhi makhluk-makhluk magis seperti manticore, elf, centaur, unicorn, naga dan lain-lain tetapi berlatarkan ranah-ranah realiti dunia moden kita hari ini. Makhluk-makhluk mitos ini menjadi polis, pemilik kedai dan memainkan semua peranan manusia biasa dalam dunia realiti kita hari ini. Ian sendiri ialah seorang elf yang merupakan pelajar sekolah menengah dan sedang menghadapi kriris keremejaan.

Menjelang sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-16, Ian menerima sebuah hadiah dari bapanya yang diamanahkan kepada ibunya untuk disimpan dan dibuka apabila kedua dua anak lelaki mereka itu sudah berusia sekurang-kurangnya 16 tahun. Hadiah itu ialah sebatang kayu dan sebuah kristal ajaib dengan kuasa magis. Apabila dijampikan, kuasa magis itu dapat memberi keupayaan kepada ruh ayah Ian untuk kembali ke dunia kehidupan tetapi hanya untuk satu hari sahaja. 

Jampi dibaca oleh Ian, namun proses jampi itu tidak berlaku dengan baik, menyebabkan hanya bahagian bawah badan (dari pinggang ke kaki) ayahnya yang dijelmakan semula. Kristal ajaib yang asal telah musnah dalam proses jampi yang tidak menjadi itu, maka Ian dan Barley perlu mencari kristal ajaib yang lain untuk menyempurnakan jampi yang telah mereka buat. Perjalanan cerita ini mula mengumpul momentum dari situ, membawa kita dalam satu pengembaraan yang sarat dengan emosi dan keajaiban bersama-sama Ian dan Barley.

Watak utama filem ini ialah Ian, tetapi saya melihat cerita ini daripada kaca mata Barley, abang kepada Ian. Barley merupakan seorang abang yang sentiasa nampak begitu ceria, bersemangat dan sentiasa berada di sisi adiknya serta menggalakkan adiknya untuk meneroka kehidupan. Barley memiliki satu kekesalan dalam hidupnya, menyebabkan dia bertekad untuk tidak lagi takut supaya tiada lagi sesalan. Barley bukan sahaja seorang abang tetapi juga pada masa sama seorang figura ayah untuk Ian. Pengembaraan Ian bersama Barley telah merubah perwatakan Ian, yang asalnya penakut dan tidak berkeyakinan kepada sebaliknya. Barley telah mengeluarkan potensi terpendam Ian sehingga ia dapat dijelmakan dengan gemilang. Barley juga sanggup berkorban dan melakukan apa-apa sahaja untuk adiknya.

Sebagai seorang abang juga yang menonton cerita ini dengan seorang adik, saya berasa begitu tersentuh. Peranan seorang abang sama seperti Barley, iaitu untuk memancarkan perwatakan positif bagi menyinari kehidupan adik-adik, sanggup berkorban untuk adik-adik dan sentiasa berusaha mengeluarkan potensi terpendam adik-adik. Tugas seorang abang adalah untuk sentiasa berada di sisi adik-adik, memerhati perkembangan diri mereka dan memberi sokongan. Kalau terasa hati dengan adik-adik pun tidak boleh lama-lama, perlu sentiasa berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima dan beralah dengan kerenah adik-adik. Seorang abang ialah ayah nombor dua untuk adik-adiknya. Sama juga lah untuk seorang kakak sulung yang merupakan ibu nombor dua untuk adik-adiknya, dan seorang kakak juga tidak ada masalah mencontohi perwatakan Barley ini. Hanya jantina sahaja tidak sama tetapi perwatakan yang sama perlu dicontohi tak kira sama ada penonton seorang abang atau kakak.

Unsur magis telah dipadukan dengan krisis kehidupan yang sangat realistik, menyajikan kepada penonton sebuah karya realisme magis (magical realism) yang penuh dengan pengajaran untuk kehidupan sosial tetapi pada masa sama mengekalkan unsur-unsur fantasi yang menghiburkan. Pengembaraan Ian dan Barley memaparkan warna-warni hubungan adik beradik yang sangat indah dan menjentik emosi. 

Cerita ini sangat sesuai bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi juga untuk abang-abang dan kakak-kakak yang ada adik-adik yang masih lagi sedang membesar terutamanya adik yang baru sahaja memasuki usia remaja. Apabila kita semakin membesar, kita kadang-kala tercicir serpihan-serpihan jiwa kita yang sangat berharga, dan kita perlu menjenguk kembali ke belakang mencari semula diri kita yang hilang.

Saya beri filem ini 9/10. Ia sangat menghiburkan, sarat dengan emosi, memaparkan tema hubungan kekeluargaan yang indah terutamanya mengenai peranan penting seorang abang/kakak dan memberi perspektif yang baik mengenai pencarian diri dan makna kehidupan yang mungkin kita tidak perasan tertinggal di belakang ketika berjalan ke hadapan.

Let us reclaim ourselves and move "onward"

Comments

Popular posts from this blog

Comic Review: "Sweet Home"

Comic Title: "Sweet Home" Comic Author: Kim Carnby Release Date: October 2017 - July 2020 Country: South Korea Sweet Home is a Korean apocalyptic thriller comic produced by the collaboration between the author, Kim Carnby and illustrator, Hwang Young-chan. First published in October 2017, it has a total of around 140 chapters with its final chapter published in July 2020. The comic has become a huge success with a global readership and a Netflix adaptation into series of the same title which further popularizes the work. It follows the story of a high school social recluse named Cha Hyun-soo who is estranged from his family and friends. Not much is known about the family, except that his father is rarely at home due to preoccupation with his career while Hyun always distances himself from outside world. Secluding himself in his own room, he spends much of his days playing video games and even avoid school altogether. So one day his family arranges for a special tr...

Resensi Buku: "Di Bawah Lindungan Ka'bah"

Tajuk Buku: "Di Bawah Lindungan Ka'bah" Penulis Buku: Hamka Tahun Penerbitan: 1938 Hamka ialah seorang tokoh agama Nusantara yang tidak perlu kepada pengenalan. Ramai orang mengenali Hamka melalui kitab tafsir Al Qurannya yang terkenal iaitu "Tafsir Azhar". Namun sebenarnya, Hamka juga ialah seorang sasterawan dengan bahasa yang penuh halus lagi berseni. Ada beberapa novel yang telah dikarang Hamka, dan bersempena dengan kedatangan bulan Zulhijjah, iaitu musim-musim orang menunaikan haji ini, terasa ingin membincangkan novelnya yang berjudul "Di Bawah Lindungan Kaabah". Karya "Di Bawah Lindungan Kaabah" ialah sebuah novel tulisan Hamka yang diterbitkan pada tahun 1938 oleh penerbit Indonesia iaitu Balai Pustaka, sebuah badan penerbitan yang beroperasi ketika zaman kolonial Belanda. Kini novel ini diterbitkan semula di Malaysia oleh syarikat penerbitan PTS (cetakan pertama PTS adalah pada tahun 2015). Novel ini mengisahkan tentang seor...