Skip to main content

Resensi Buku: "Margaretta Gauthier" (Terjemahan Hamka)

Tajuk Buku: "Margaretta Gauthier" 
Penterjemah Buku: Hamka
Penulis Asal: Alexandre Dumas Fils
Bahasa Terjemahan: Bahasa Melayu Indonesia
Bahasa Asal: Perancis



Satu masa lalu, aku pernah melafazkan ikrar, bahawa aku tidak akan membaca karya terjemahan dan akan kekal membaca hanya karya asal dalam bahasa asalnya. Namun ulasan aku terhadap buku ini bakal menjadi sebuah simbol kepada pengkhianatan aku terhadap janji diri sendiri. Sebagai peminat tulisan-tulisan Hamka, aku tidak dapat menahan diri daripada tidak membaca karya Hamka termasuk la karya terjemahan ini. Berbekalkan alasan bahawa aku akan memberikan buku ini sebagai hadiah kepada seorang rakan, aku mengambil kesempatan seluas luasnya untuk membaca dan menikmati buku ini, bukan sebagai buku terjemahan tetapi sebagai buah tangan Hamka yang sekalipun bukan tulisan asalnya, tetapi di dalamnya terdapat khazanah-khazanah kesusasteraan dan langgam bahasa yang sinonim dengan corak kepengarangan Hamka.
Latarbelakang Buku

Buku ini tajuk asalnya ialah "La Dame Aux Camelias" (The Lady of Camellias) tulisan Alexander Dumas fils (Alexander Dumas Jr) yang merupakan anak luar nikah kepada Alexander Dumas Sr, juga merupakan penulis Perancis yang terkenal (antara karyanya yang dikenali ialah Three Musketeers) Buku ini asalnya diterbitkan dalam bahasa Perancis, namun ia telah diterjemahkan oleh seorang karyawan Arab Mesir bernama Mustafa Lufti Al Manfaluti ke dalam bahasa Arab, dan daripada bahasa Arab inilah Hamka menterjemahkan ke bahasa Indonesia dan menjadi naskah berjudul "Margaretta Gauthier" seperti yang diterbitkan oleh Jejak Tarbiyah ini. Buku ini merupakan terjemahan atas terjemahan, daripada perancis ke arab dan ke bahasa Indonesia, yang sudah pasti akan menyebabkan karya terjemahan versi Hamka ini berbeza daripada karya asalnya. Maka disebabkan itu aku lebih menganggap karya ini sebagai buah tangan Hamka berbanding hasil karya penulis asalnya. Margaretta Gauthier versi terjemahan Hamka terbitan Jejak Tarbiyah memiliki lebih kurang 160 muka surat dan dapat dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah naratif yang bersifat seperti nukilan pihak ketiga (third person view) manakala bahagian kedua buku ini pula merupakan catatan-catatan diari dan kandungan surat yang ditulis oleh Margaretta dan penjaganya. Sinopsis Buku
Baik, tanpa membazirkan lebih banyak kata-kata, aku mahu mengulas buku ini dengan lebih terperinci. Buku ini mengisahkan seorang gadis bernama Margaretta Gauthier yang menyara dirinya untuk dengan menjadi seorang pelacur. Margaretta merupakan seorang perempuan rupawan yang dikenali dengan kecantikan yang luar biasa, menjadikannya pelacur bertaraf kelas pertama yang hanya mampu dilanggan oleh lelaki kaya dan ternama. Namun begitu Margaretta sebenarnya ditekan oleh perasaan pilu yang teramat sangat kerana sejak awal lagi dia tidak pernah rela untuk menjadi pelacur. Margaretta hanya menginginkan makanan, pakaian dan secebis kasih sayang untuk keperluan hidupnya tetapi tidak ada sesiapa yang sudi untuk memberikannya melalui jalan kehormatan. Maka Margaretta terpaksa melacurkan dirinya bagi meneruskan hidup dan menyatakan dendam bahawa Margaretta akan merampas segala harta kekayaan dari tangan lelaki dengan menggoda mereka ke arah kehancuran. Namun begitu takdir menentukan bahawa Margaretta bertemu dengan seorang lelaki tua budiman yang mengubah kehidupannya secara total, dan kemudian tidak lama selepas itu dia bertemu dengan seorang lelaki muda bernama Armand Douval yang menjadi kekasih hatinya yang pertama. Armand dan Margaretta saling mencintai satu sama lain dengan begitu telus. Margaretta berasa sangat gembira kerana menyangka bahawa akhirnya gadis bekas pelacur sepertinya juga dapat merasai nikmat cinta yang ikhlas daripada seorang lelaki berbudi pekerti tinggi seperti Armand. Namun kebahagian itu mula teruji apabila kita didedahkan bahawa Armand merupakan anak kepada keluarga bangsawan, yang sudah mula bercakap buruk mengenai Armand sehingga bapanya terpaksa mencari Armand dan berusaha memutuskan hubungan cinta antara Armand dan Margaretta.
Tema Utama: Jurang Darjat
Buku ini bukanlah tulisan Hamka, namun membaca karya ini menghadirkan secebis perasaan dalam hati bahawa aku seolah olah sedang membaca karya Hamka seperti Di Bawah Lambaian Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Sebab apa? Kerana tema utama buku ini ialah cinta tulus yang dihalang oleh perbezaan darjat, tema yang begitu sinonim dengan karya-karya Hamka yang sering menukilkan bagaimana adat masyarakat yang mementingkan kelas dan kedudukan sering menjadi penghalang kepada sebuah hubungan cinta. Dalam novel ini, Armand Douval merupakan seorang lelaki berdarah bangsawan daripada keluarga Talleyrand manakala Margaretta Gauthier pula hanyalah seorang gadis miskin yang kemudian menyara hidup sebagai seorang pelacur. Margaretta dan Armand kemudian hidup bersama, sanggup menjadi miskin dan mengharungi geloran kehidupan dengan menyokong satu sama lain. Margaretta tidak sanggup melepaskan Armand biarpun betapa banyak harta dia perlu korbankan kerana tidak ada yang lebih mahal daripada harga sebuah cinta bagi Margaretta. Armand juga sanggup meninggalkan kedudukannya sebagai seorang bangsawan untuk hidup dan mati bersama Margaretta. Namun gosip mengenai hubungan Margaretta dan Armand mula tersebar dan keluarga Douval tidak merestui hubungan mereka. Malah adik perempuan Armand tidak dibenarkan berkahwin dengan jejaka yang sepatutnya bakal menjadi suaminya kerana ayah kepada jejaka itu menegaskan bahawa dia tidak akan sama sekali membenarkan pelacur seperti Margaretta Gauthier menjadi besan kepada anaknya. Ayah Armand kemudian terpaksa berkali kali mencuba untuk memutuskan hubungan antara Armand dan Margaretta agar Margaretta tidak akan memiliki apa apa hubungan kekeluargaan dengan keluarganya. Semuanya kerana status Margaretta sebagai bekas pelacur yang dianggap hina dalam masyarakat. Hubungan Margaretta dengan Armand digoncang-goncang oleh ribut perbezaan darjat yang tidak merestui cinta mereka. Sama seperti Zainuddin dan Hayati dalam novel Tenggalamnya Kapal Van Der Wijck. Malah sama juga seperti Hamid dan Zainab dalam novel Di Bawah Lindungan Kaabah. Kedua dua novel itu merupakan novel tulisan Hamka, dengan tema yang lebih kurang serupa dengan karya terjemahan ini, menjadikannya bukan sesuatu yang pelik kenapa Hamka memilih untuk menterjemah novel ini. Persoalan 1: Rintihan Seorang Pelacur
Margaretta merupakan seorang pelacur, status yang menjadi simbol utama kepada segala kehinaan. Pelacur dipandang sebagai orang jahat, sekadar seorang pemuas nafsu lelaki dan penipu yang mempermainkan mangsanya. Margaretta juga dipandang sebegitu rupa dalam kaca mata masyarakat. Masyarakat umum di Perancis misalnya sentiasa menyimpulkan bahawa mustahil untuk Margaretta, seorang pelacur dan perampas untuk berbudi seperti dermawan sekalipun jika Margaretta sememangnya berbuat demikian dan bahkan lebih daripada itu. Ayah kepada Armand, yang memberi amaran kepada Armand bahawa Margaritta hanya berpura pura untuk mencintainya, mengatakan bahawa Margaritta telah membuatkan puluhan lelaki lain berasa bahawa merekalah yang paling dicintai Margaritta dan Armand hanya salah seorang daripadanya. Margaritta dikatakan hanya mahu meragut harta dan kekayaan lelaki yang dimanipulasinya. Bahkan seorang ahli agamawan dalam novel ini juga pada awalnya berfikir sejenak untuk membantu Margaretta, merenung terlebih dahulu memikirkan sama ada dia patut atau tidak untuk berkhidmat kepada Margaretta. Namun, agamawan tersebut membantu, hanya selepas dia disedarkan bahawa rahmat Tuhan itu sentiasa terbuka untuk orang yang berdosa apabila mereka bertaubat. Margaretta pula, walaupun telah mendapat bermacam jenis kekayaan dan menjadi penyeri kepada segala jenis majlis besar-besaran, tetap menyimpan duka yang paling hitam di sebalik hatinya. Margaretta tidak pernah mahu untuk menjadi pelacur. Margaretta hanya mendambakan keperluan yang paling asas untuk dirinya dan sentiasa menyimpan impian untuk merasai makna cinta sejati yang paling suci walaupun jika dia perlu hidup di dalam teratak yang kecil sekalipun untuk mendapatkan cinta itu. Namun begitu ujian hidup yang berat tidak putus-putus menghempap Margaretta, sehingga dia berkali kali tersungkur menyapu debu di bumi setiap kali dia cuba untuk mendongak ke langit mencari sinar impian. Margaretta berdendam dengan para lelaki, dan menyimpan niat untuk memusnahkan mereka namun sehitam hitam dendam Margaretta, cahaya budi yang terang menyala tetap dalam hatinya. Margaretta sentiasa memberi sumbangan kewangan kepada perempuan-perempuan terpilih yang memerlukan bantuan untuk berkahwin secara terhormat. Segelap-gelap kebencian Margaretta kepada lelaki yang menjadikannya objek penghinaan, Margaretta bertekad bahawa dia tidak akan sama sekali menyentuh lelaki yang sudah bertunang atau berkahwin, kerana simpatinya yang tinggi kepada isteri atau tunang yang menyayangi lelaki tersebut. Disebabkan itu Margaretta akan menolak pelanggan yang diketahuinya sudah memiliki isteri atau tunang. Membaca naskah buku ini membuatkan aku merenung, sebab sebab mengapa masyarakat yang memandang hina kepada pelacur begitu keras terhadap pelacur tetapi tidak kepada pelanggan yang merosakkan pelacur itu. Margaretta begitu dihina oleh masyarakat tetapi golongan lelaki yang menjadikan Margaretta pemuas nafsu mereka bebas berlegar legar dengan gembira tanpa perlu melalui pengalaman getir yang sama seperti Margaretta. Margaretta sentiasa memadang dirinya sendiri sebagai manusia yang layak untuk menerima segala macam penghinaan. Margaretta tidak mahu menjadi pelacur, dan dia sentiasa menyimpan duka dan penyesalan yang begitu pahit sepanjang tempoh dia terlibat dalam industri itu. Margaretta menganggap dirinya sebagai kekotoran yang hanya boleh menebus dirinya dengan mengorbankan diri sendiri untuk manusia yang lain. Jauh di sudut hati Margaretta, dia menginginkan kasih sayang dan penebusan untuk dirinya. Persoalan 2: Makna Cinta
Apakah itu cinta? Apakah yang diperlukan untuk melangsungkan sebuah hubungan cinta? Persoalan ini diterokai secara tidak langsung dalam novel ini. Margaretta sangat mendambakan cinta seorang lelaki yang ikhlas, yang mencintai dirinya bukan kerana kecantikannya tetapi kerana dirinya semata-mata. Margaretta menganggap cinta sejati itu sebagai harta yang lebih bernilai daripada harta dan kekayaan. Margaretta mencemburui hubungan cinta antara dua orang pasangan yang dilihatnya hanya hidup bersama di dalam tempat kediaman yang kecil. Margaretta berbisik kepada hatinya, bahawa dia juga sanggup untuk hidup dalam keadaan bersederhana sahaja asalkan dia ditemami oleh seorang lelaki yang benar-benar mencintainya. Ketika peringkat awal Margaretta jatuh cinta dengan Armand, dia berusaha dengan keras untuk mengelak daripada bertemu Armand. Margaretta takut untuk jatuh cinta, namun dia disedarkan oleh hakikat, bahawa takut untuk jatuh cinta itulah sebenar-benarnya cinta. Ketika ayah Armand menemui Armand, mereka berdebat mengenai prasyarat yang diperlukan untuk bercinta. Adakah cinta itu ideal yang dapat bertahan dalam apa jua keadaan, atau cinta itu realiti yang berubah ubah, dipengaruhi oleh kesusahan atau kesenangan hidup. Adakah bermabuk mabuk dalam cinta itu hanya boleh terjadi sekiranya tapak kewangan pasangan itu kukuh? Atau cinta itu mendahului segala prasyarat dan kekal utuh tanpa mengira senang atau susah? Ayah Armand menekankan bahawa apabila mereka sudah tidak ada sumber pendapatan, fantasi cinta itu akan berkecai dan hubungan antara Armamd dan Margaretta akan hancur luluh. Armand pula menegaskan bahawa dia dan Margaretta telah pun melaksanakan apa yang disebut oleh ayahnya sebagai kemustahilan dalam hubungan cinta, iaitu meninggalkan segala kesenangan mereka untuk hidup bersama dan melafazkan cinta mereka. Rumusan
Susunan perkataan yang digunakan oleh Hamka untuk mengungkap dan menterjemah roh buku ini begitu berbekas pada hati, kerana kekayaan bahasa dan ketinggian sasteranya yang sungguh meruntun jiwa. Buku ini pendek sahaja, namun ketika membaca setiap baris-barisnya, aku berasa bahawa kegolojohan untuk cepat-cepat menghabiskannya akan menyebabkan aku kehilangan zat yang aku perlukan untuk memberi kekenyangan jiwa aku sangat dambakan. Sekiranya diberi keizinan masa, aku berhajat untuk membaca karya asal satu hari nanti dan membandingkannya dengan naskah terjemahan Hamka ini. Hamka sememangnya seorang penulis dengan kuasa kepengarangan sastera yang luar biasa. Karya ini bukan karya tulisan Hamka, namun membaca karya terjemahan ini akan memperlihatkan kepada kita keupayaan berbahasa Hamka, dalam memilih kata untuk menyusun terjemahannya. Bahasa ini lah yang memberikan kepengarangan Hamka ciri ciri keunikan tersendiri dalam menebar pengaruh ke atas emosi pembaca. Jika anda suka Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Di Bawah Lambaian Kaabah, buku Margaretta Gauthier terjemahan ini merupakan bacaan wajib yang perlu dibaca untuk merungkai tema kesusasteraan "Hamka-esque" atau "Hamka-ian" yang terpancar jelas dalam karya-karyanya tidak kira tulisannya sendiri yang asli mahupun karya yang dipilih oleh untuk diterjemahkannya.

Comments

Popular posts from this blog

Resensi Cerpen: "Three Questions" (Terjemahan Aylmer & Louise Maude)

Tajuk Cerpen: "Three Questions" Antologi Cerpen:  Чем люди живы (English:  What Men Live By) Penterjemah Buku:  Aylmer &  Louise  Maude Penulis Asal: Leo Tolstoy Bahasa Terjemahan: Bahasa Inggeris Bahasa Asal: Russia "Three Questions" ialah sebuah cerpen pendek yang ditulis oleh Count Lev Nikolayevich Tolstoy atau juga dikenali sebagai Leo Tolstoy, seorang sasterawan Russia. Cerpen "Three Questions" ini diterbitkan bersama beberapa cerpen lain yang ditulis beliau dalam antologi "What Men Live By" (diterjemah daripada judul asal: Чем люди живы atau Chem lyudi zhivy). Antologi cerpen ini diterbitkan sekitar tahun 1880-an.  Cerpen ini mengisahkan tentang seorang raja yang tertanya-tanya mengenai tiga soalan. Ketiga tiga soalan itu bagi baginda amat penting untuk dijawab agar segala keputusan dan rancangan yang dirangka bakal menemui hasil yang terbaik.  Tiga soalan itu ialah: 1. Apakah waktu yang paling baik untuk memulakan sesuatu? 

Resensi Filem: "Onward"

Tajuk Filem: "Onward" Tahun Keluaran: 2020 Negara: US Filem animasi Disney ini mengisahkan tentang Ian Lightfoot yang baru sahaja mencapai umur 16 tahun. Dia tinggal bersama abangnya, Barley Lightfoot dan ibunya tanpa bapa kerana bapanya telah meninggal dunia sebelum Ian dilahirkan. Ian tidak berpeluang mengenali bapanya dan sering tertanya-tanya mengenai bapanya ketika dia masih hidup. Ian membesar bersama abangnya Barley tetapi Ian dan Barley merupakan dua watak dengan personaliti yang bertentangan. Ian seorang yang penakut dan tidak berkeyakinan manakala Barley pula sebaliknya, sangat suka berfantasi, berani dan "reckless" merempuh sahaja kehidupan tanpa keraguan. Mereka tinggal di sebuah dunia yang dipenuhi makhluk-makhluk magis seperti manticore, elf, centaur, unicorn, naga dan lain-lain tetapi berlatarkan ranah-ranah realiti dunia moden kita hari ini. Makhluk-makhluk mitos ini menjadi polis, pemilik kedai dan memainkan semua peranan manusia biasa d