Skip to main content

Resensi Buku: "Di Bawah Lindungan Ka'bah"

Tajuk Buku: "Di Bawah Lindungan Ka'bah"
Penulis Buku: Hamka
Tahun Penerbitan: 1938


Hamka ialah seorang tokoh agama Nusantara yang tidak perlu kepada pengenalan. Ramai orang mengenali Hamka melalui kitab tafsir Al Qurannya yang terkenal iaitu "Tafsir Azhar". Namun sebenarnya, Hamka juga ialah seorang sasterawan dengan bahasa yang penuh halus lagi berseni. Ada beberapa novel yang telah dikarang Hamka, dan bersempena dengan kedatangan bulan Zulhijjah, iaitu musim-musim orang menunaikan haji ini, terasa ingin membincangkan novelnya yang berjudul "Di Bawah Lindungan Kaabah". Karya "Di Bawah Lindungan Kaabah" ialah sebuah novel tulisan Hamka yang diterbitkan pada tahun 1938 oleh penerbit Indonesia iaitu Balai Pustaka, sebuah badan penerbitan yang beroperasi ketika zaman kolonial Belanda. Kini novel ini diterbitkan semula di Malaysia oleh syarikat penerbitan PTS (cetakan pertama PTS adalah pada tahun 2015).

Novel ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Hamid, seorang pemuda dari Sumatra Indonesia yang sudah bermukim di Mekah selama setahun. Latar masa novel ini adalah pada musim haji tahun 1927, tahun berlakunya peralihan tampuk pentabiran wilayah Hijaz daripada Syarif Hussein kepada Ibn Saud secara rasmi dan diiktiraf oleh British melalui Perjanjian Jeddah 1927. Hamid digambarkan sebagai seorang lelaki yang baik-baik, soleh, pendiam, dan selalu tenggelam dalam lamunannya. Novel ini sebenarnya berinteraksi dengan pembaca melalui sudut pandang seorang pencerita (narrator), yang datang ke Mekah untuk menunaikan haji dan kebetulan berkongsi rumah penginapan di Mekah bersama Hamid. Pencerita ini cuba mengorek rahsia yang disimpan Hamid dan tertanya-tanya akan perkara yang dilamunkannya. Setelah dipujuk oleh pencerita, Hamid membuat keputusan untuk mengisahkan sejarah lamanya di tanah kelahirannya. 

Hamid menjadi anak yatim setelah dia kehilangan ayahnya ketika masih kecil. Sejak itu, ibunya lah yang berhempas pulas membesarkan Hamid dalam keadaan terputus tempat bergantung dengan berniaga kuih-kuih. Hamid ketika itu biarpun masih lagi kanak-kanak, dia tidak dapat bermain dan belajar seperti rakan sebayanya kerana sibuk membantu ibunya. Ditakdirkan pada satu hari, Hamid datang berjual kuih di rumah seorang hartawan bernama Haji Jaafar. Haji Jaafar dan isterinya, Asiah berasa kasihan akan keadaannya dan juga suka akan kelakuannya yang baik, lalu berhasrat untuk membantu Hamid memasuki sekolah dan membantu ibunya. Maka sejak itu, Hamid dan ibunya telah diterima dan dilayan oleh keluarga Haji Jaafar seperti ahli keluarga mereka sendiri. Haji Jaafar memiliki seorang anak perempuan bernama Zainab yang menjadi teman sepermainan Hamid dan mereka membesar bersama seperti pasangan adik dan abang yang akrab. Segala-galanya kelihatan indah, namun konflik akan bermula apabila Hamid mula menaruh perasaan cinta terhadap Zainab.

Tema utama novel ini ialah perasaan cinta yang berhadapan dengan cabaran jurang darjat yang luas. Hamid yang sudah lama mengenali Zainab mula menyimpan bibit-bibit perasaan cinta terhadap anak gadis keluarga hartawan itu, namun dia berusaha menafikannya, dengan menganggap api kecil perasannya itu umpama semangkuk air tawar yang dicurahkan ke laut. Hamid juga menganggap bahawa menerima balasan daripada Zainab merupakan sebuah keberuntungan yang melebihi keberuntungan seorang pelayan bawahan yang dihadiahi sebentuk cincin oleh rajanya.

Ibu Hamid memberi amaran kepada Hamid untuk cepat-cepat menenggelamkan segala perasaan yang disimpan kepada Zainab, kerana katanya "emas tidak sebangsa dengan loyang, dan sutera tidak sebangsa dengan benang". Menurut ibu Hamid lagi, cinta Hamid itu perlu melalui jurang demi jurang yang setiap satunya sangat sukar untuk dilangkah. Sekuat mana pun cinta Hamid kepada Zainab, tidak ada jaminan cinta itu akan disambut oleh Zainab, kerana hatinya mungkin akan mengenangkan perbezaan darjat yang ketara antara dirinya, seorang bangsawan dengan Hamid yang merupakan orang bawahan. Sekalipun jika Zainab tidak pernah meninggikan dirinya sebegitu, Hamid masih perlu berhadapan dengan Asiah, ibu Zainab yang berkemungkinan besar akan menganggap Hamid bukan lelaki yang sesuai untuk Zainab. Sekalipun jika Hamid diterima oleh ibu Zainab, Hamid masih perlu berhadapan kaum kerabat dalam kalangan keluarga besar Zainab yang tidak mengenali dan barangkali turut tidak menyukai Hamid juga, kerana hubungan Hamid dengan keluarga Zainab hanya terbatas kepada Haji Jaafar dan Asiah sahaja.

Persoalan penting yang mendukung tema utama novel ini pula ialah keteguhan adat resam dan perbezaan kelas sosial yang mengakar dalam realiti masyarakat dan membentuk nasib hidup. Ibu Hamid telah menyebut bahawa Tuhan tidak pernah membezakan antara golongan atasan dengan bawahan, orang kaya dengan miskin, orang hina dengan orang mulia atau satu bangsa dengan bangsa yang lain. Namun realiti kehidupan manusia tidak dicorak sebegitu, kerana hakikatnya segala perbezaan sosial itu memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan hidup seorang individu. Orang kaya dan bangsawan yang tidak mahu mengahwinkan anak mereka dengan orang miskin dan bawahan merupakan satu kenyataan pahit yang perlu diterima dalam kehidupan. 

Orang bangsawan hidupnya berbeza dengan hidup orang bawahan. Mereka bergaul dalam kelas sosial tersendiri, dan mendapat pendidikan di institusi pendidikan khas yang berbeza dengan orang bawahan. Hamid, seorang budak lelaki miskin yang kebetulan berada di sekolah golongan bangsawan kerana budi Hamid menjadi mangsa ejekan pelajar-pelajar anak bangsawan di sekolahnya itu disebabkan oleh latar belakangnya sebagai bekas penjaja kuih dan penjual pisang goreng. Sejak zaman persekolahan lagi golongan bangsawan telah terbentuk secara halus untuk memandang rendah kepada golongan bawahan dan diacuankan oleh realiti sosial untuk hanya bergaul sesama mereka. Haji Jaafar dan isterinya pula umpama satu keajaiban dan keanehan dalam masyarakat atasan kerana perwatakan mereka yang sangat merendah diri dan pemurah biarpun mereka merupakan golongan hartawan. 

Haji Jaafar dan Asiah melayan ibu Hamid seperti saudara mereka sendiri dan Hamid umpama anak mereka sendiri, tetapi sebaik dan setinggi mana pun budi pekerti mereka, mereka juga secara bawah sedar tidak terlepas daripada corak pemikiran golongan bangsawan yang mendominasi latar sosial masyarakat. Selepas kematian Haji Jaafar, keluarga Zainab telah merancang untuk mengahwinkan Zainab dengan sepupunya yang telah dipilih sebagai pewaris kepada harta Haji Jaafar kerana beliau tidak ada anak lelaki. Adat resam seputar perwarisan harta telah menjadi faktor utama dalam menentukan calon suami untuk Zainab, menyebabkan ibu Zainab langsung tidak menyedari betapa kuatnya perasaan cinta Hamid terhadap Zainab. Cinta Hamid terhadap Zainab amat sukar untuk direalisasikan kerana perbezaan darjat antara dirinya dengan Zainab serta adat resam orang bangsawan ketika itu, menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan memadamkan keghairahan cintanya terhadap Zainab. 

Persoalan kedua dalam novel ini ialah konsep perasaan cinta yang jelmaannya muncul dalam pelbagai bentuk dan kesannya ke atas seorang manusia. Cinta Hamid terhadap Zainab telah digambarkan sebagai perasaan cinta yang paling tulus dan murni kerana Hamid menegaskan bahawa dia mencintai Zainab semata mata kerana jiwa dan budi pekertinya, bukan kerana tarikan fizikal tubuh badan mahupun kepandaian membuat ayat dan mengarang surat. Ibu Hamid telah menyebut kepada Hamid bahawa perasaan cinta yang terlalu mendalam bakal memusnahkan hati seorang lelaki, lalu menyarankan agar perasaan itu cepat-cepat dipadam sebelum terlambat. Cinta ketika ia masih kecil belum berbahaya namun jika ia sudah mengakar dalam diri, ia dapat menghancurkan jiwa manusia.

Dari mana cinta yang tulus datang? Hamka menggambarkan dalam novel ini bahawa cinta antara dua jiwa manusia telah dibentuk oleh Tuhan di alam roh sebelum mereka diberi badan dan dihantar ke dunia lagi. Maka apabila pemilik badan yang mengandungi dua jiwa itu bertemu dan berkenalan di alam dunia, mata yang dimiliki oleh cinta di dalam dua jiwa itu akan dapat melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun. Cinta merupakan anugerah Tuhan yang tidak membezakan darjat antara manusia namun realiti masyarakat di alam dunia tidak semestinya murni sebegitu juga, menjadikan cinta satu cabaran yang sangat besar.

Novel ini memaparkan latar masyarakat di Sumatera Indonesia pada era kolonial Belanda. Antaranya ialah masyarakat bangsawan yang rata-ratanya cenderung untuk meninggi diri tetapi ada juga keluarga bangsawan seperti keluarga Haji Jaafar yang ketinggian budi pekerti cukup murni untuk mengalahkan bisikan kesombongan yang jahat. Namun keluarga Haji Jaafar pun masih terikat dengan konsep adat perwarisan harta dan adat perkahwinan gadis bangsawan yang mencorak fabrik sosial kelas atasan. Ibu Hamid pula mewakili latar masyarakat ibu tunggal yang cekal dan kuat membesarkan seorang anak tanpa bapa. Ibu Hamid sangat keras bekerja, dan sentiasa berada bersama Hamid ketika Hamid memerlukan didikan nasihatnya. Malah, sehingga ke hujung nyawa pun ibu Hamid masih menyimpan daya pemikiran yang cerdas dan mata hatinya tetap terang benderang biarpun mata fizikalnya sudah semakin kabur. 

Isu-isu berkaitan hal pendidikan dalam masyarakat Hamid juga diperlihatkan dalam novel ini. Hamid dan ibunya merupakan sebahagian daripada latar masyarakat bawahan yang biasanya terpinggir dalam pendidikan. Biarpun arwah ayah Hamid sangat berkeinginan untuk melihat Hamid mendapat pendidikan di sekolah, Hamid terpaksa bekerja biarpun masih merupakan seorang kanak-kanak kecil. Untung hasil jualan kuih hanya cukup untuk menampung keperluan makanan, menyebabkan ibunya tidak mampu untuk menghantar Hamid ke sekolah sebagaimana yang dimahukan oleh arwah ayahnya. Hamid bernasib baik apabila dia mendapat perhatian seorang hartawan budiman yang mahu menghantarnya ke sekolah tetapi kanak-kanak lain yang miskin dalam masyarakat Hamid keberangkalian besar kekal tidak mampu untuk bersekolah. 

Keluarga bangsawan pula berupaya untuk memberi pendidikan kepada anak-anak mereka sehingga ke tahap yang paling tinggi namun dalam keluarga bangsawan pun akses kepada pendidikan tinggi hanya terbatas kepada orang lelaki. Orang perempuan seperti Zainab dapat menikmati pendidikan pada peringkat asas kerana ayahnya merupakan seorang hartawan tetapi apabila Zainab memasuki usia dewasa, seperti adat orang perempuan zaman itu, Zainab tidak lagi meneruskan pendidikan dan pergerakannya di luar rumah semakin terhad. Zainab mula diasuh dengan ilmu-ilmu suri rumah dan dipersiapkan untuk berkahwin dengan calon lelaki yang telah ditentukan oleh keluarganya. Keadaan Zainab ini tidak ada perbezaan besar dengan zaman Kartini memperjuangkan pendidikan untuk golongan wanita. Malah sehingga sekarang pun masih ada tempat-tempat di dunia ini di mana golongan wanita sukar mendapat pendidikan kerana masyarakatnya menganggap orang perempuan lebih sesuai untuk berkahwin berbanding belajar.

Latar tempat novel ini pula adalah Asia Tenggara dan Timur Tengah pada awal abad ke-20. Asia tenggara masih berada bawah pemerintahan kolonial dan dunia Timur Tengah pula sedang beradaptasi dengan kejatuhan empayar Uthmaniyyah selepas perang dunia pertama berakhir. Novel ini menyebutkan secara ringkas mengenai keuntungan industri getah di Indonesia yang ketika itu merupakan koloni Belanda dengan ekonomi berteraskan sektor pertanian dan penanaman (antaranya ialah penanaman getah, sama seperti Malaya bawah pentadbiran British). Masyarakat Asia Tenggara ketika itu masih menunaikan haji dengan menaiki kapal merentasi lautan, tidak seperti zaman sekarang yang didominasi oleh pengangkutan kapal terbang. Hamid sendiri dalam novel ini berkelana ke Mekah melalui satu perjalanan yang panjang dari Singapura ke Bangkok dan kemudiannya dia berlayar ke wilayah-wilayah di India yang disusuli dengan satu lagi pelayaran dari Karachi ke Basrah sebelum dia akhirnya memasuki Iraq dan tiba di Mekah melalui gurun Najd.

Suasana haji di Mekah digambarkan sebagai tenang dan damai dalam novel ini, namun kekacauan yang dahsyat sedang berlaku di rantau tempat terletaknya kota Mekah pada zaman itu. Kawasan yang kita kenali sekarang sebagai Arab Saudi pada zaman itu sedang bergelut dengan perebutan kuasa antara Syarif Hussein (yang asalnya merampas kuasa daripada kerajaan Uthmaniyyah) dengan keluarga Saud. Pergelutan itu berakhir dengan kemenangan keluarga Saud yang disahkan oleh perjanjian Jeddah 1927, tahun sama latar masa cerita dalam novel ini berlaku. Perjanjian Jeddah 1927 memberi kuasa kepada keluarga Saud ke atas Najd dan Hijjaz. Inilah sebab sejarah mengapa negara yang memerintah kota Mekah itu dikenali sebagai Arab Saudi kerana kekuasaan keluarga Saud yang masih kekal sehingga ke realiti dunia kita pada zaman sekarang.

Novel ini menceritakan perwatakan Hamid dan perasaan yang menggusarkan dirinya dengan penuh kehalusan bahasa yang menyebabkan pembaca akan berasa sangat kasihan kepadanya. Sejak kecil lagi Hamid merupakan seorang kanak-kanak yang hidup susah, namun dia tetap seorang anak yang rajin, baik dan tinggi budi pekerti, menyebabkan keluarga Haji Jaafar tertarik untuk membantunya. Hamid sentiasa berbakti kepada ibunya dan amat memelihara tutur katanya, menjadikan keluarga Jaafar bertambah sayang kepadanya. Hamid juga sangat taat kepada ibu angkatnya iaitu Asiah, sehingga dia sanggup membantu ibu angkatnya itu melakukan hal yang sangat memedihkan hatinya sendiri. 

Hamid digambarkan sebagai seorang yang suka merenung dan berfikir. Dia gemar duduk di tepi pantai dan memerhati ombak samudera Lautan Hindi sambil dia mendiamkan diri seolah-olah sedang berfikir sesuatu. Sekiranya dia tidak melihat laut, dia akan digambarkan sedang melihat gugusan-gugusan bintang yang bercahaya di langit dan seperti biasa, mendiamkan dirinya seolah-olah sedang berfikir sesuatu. Hamid dipaparkan sebagai seorang yang tidak lalai daripada beribadah, suka membaca kitab tasawuf dan tidak suka membuang masa. Apabila hal ehwal dunia dituturkan kepadanya dia akan mengalihkan bicara dengan kehalusan budi pekerti dan ketinggian kesopanan.

Namun di sebalik wajah yang penuh dengan kesopanan dan kehalusan budi pekerti itu, Hamid menyimpan duka yang sangat dalam. Kematian Haji Jaafar, kematian ibu Hamid sendiri dan juga cintanya terhadap Zainab yang tidak ada sebarang harapan kerana perbezaan taraf mereka, telah membuatkan Hamid pergi membawa diri ke Timur Tengah lalu menetap di Mekah. Hamid sering kali menyimpan perasaan sedih yang pedih dan panjang, tetapi dia hanya mengharapkan rahmat Allah agar menguatkan dirinya. Di Mekah, Hamid bermunajat, "Tidak ada seutas tali pun tempat saya bergantung lain dari tali Engkau, tidak ada satu pintu yang akan saya ketuk, lain daripada pintu Engkau". 

Novel ini penuh dengan cerita-cerita yang berupaya menjatuhkan air mata pembaca. Bacalah sendiri dan hayatilah betapa indahnya alur penceritaan Hamka dan betapa halusnya seni bahasanya. Novel ini sangat nipis, boleh dihabiskan dalam masa beberapa jam sahaja tetapi aku memilih untuk membacanya perlahan-lahan selama dua hari agar dapat dijamah dengan sempurna kelazatan gaya sastera Hamka. Buku ini ringkas sahaja ceritanya, tetapi padat dengan ketinggian sastera dan kehalusan jiwa. Jika hendak membaca tragedi cinta terpendam yang terpaksa dipadam kerana jurang ciptaan adat resam, bacalah novel ini. Pada penghujung novel ini, pembaca akan difahamkan kenapa tajuk novel ini berjudul "Di Bawah Lindungan Kaabah".

25 July 2021
15 Zulhijjah 1442 H

Comments

Popular posts from this blog

Resensi Cerpen: "Three Questions" (Terjemahan Aylmer & Louise Maude)

Tajuk Cerpen: "Three Questions" Antologi Cerpen:  Чем люди живы (English:  What Men Live By) Penterjemah Buku:  Aylmer &  Louise  Maude Penulis Asal: Leo Tolstoy Bahasa Terjemahan: Bahasa Inggeris Bahasa Asal: Russia "Three Questions" ialah sebuah cerpen pendek yang ditulis oleh Count Lev Nikolayevich Tolstoy atau juga dikenali sebagai Leo Tolstoy, seorang sasterawan Russia. Cerpen "Three Questions" ini diterbitkan bersama beberapa cerpen lain yang ditulis beliau dalam antologi "What Men Live By" (diterjemah daripada judul asal: Чем люди живы atau Chem lyudi zhivy). Antologi cerpen ini diterbitkan sekitar tahun 1880-an.  Cerpen ini mengisahkan tentang seorang raja yang tertanya-tanya mengenai tiga soalan. Ketiga tiga soalan itu bagi baginda amat penting untuk dijawab agar segala keputusan dan rancangan yang dirangka bakal menemui hasil yang terbaik.  Tiga soalan itu ialah: 1. Apakah waktu yang paling baik untuk memulakan sesuatu? 

Resensi Filem: "Onward"

Tajuk Filem: "Onward" Tahun Keluaran: 2020 Negara: US Filem animasi Disney ini mengisahkan tentang Ian Lightfoot yang baru sahaja mencapai umur 16 tahun. Dia tinggal bersama abangnya, Barley Lightfoot dan ibunya tanpa bapa kerana bapanya telah meninggal dunia sebelum Ian dilahirkan. Ian tidak berpeluang mengenali bapanya dan sering tertanya-tanya mengenai bapanya ketika dia masih hidup. Ian membesar bersama abangnya Barley tetapi Ian dan Barley merupakan dua watak dengan personaliti yang bertentangan. Ian seorang yang penakut dan tidak berkeyakinan manakala Barley pula sebaliknya, sangat suka berfantasi, berani dan "reckless" merempuh sahaja kehidupan tanpa keraguan. Mereka tinggal di sebuah dunia yang dipenuhi makhluk-makhluk magis seperti manticore, elf, centaur, unicorn, naga dan lain-lain tetapi berlatarkan ranah-ranah realiti dunia moden kita hari ini. Makhluk-makhluk mitos ini menjadi polis, pemilik kedai dan memainkan semua peranan manusia biasa d

Resensi Buku: "Margaretta Gauthier" (Terjemahan Hamka)

Tajuk Buku: " Margaretta Gauthier"  Penterjemah Buku: Hamka Penulis Asal: Alexandre Dumas Fils Bahasa Terjemahan: Bahasa Melayu Indonesia Bahasa Asal: Perancis Satu masa lalu, aku pernah melafazkan ikrar, bahawa aku tidak akan membaca karya terjemahan dan akan kekal membaca hanya karya asal dalam bahasa asalnya. Namun ulasan aku terhadap buku ini bakal menjadi sebuah simbol kepada pengkhianatan aku terhadap janji diri sendiri. Sebagai peminat tulisan-tulisan Hamka, aku tidak dapat menahan diri daripada tidak membaca karya Hamka termasuk la karya terjemahan ini. Berbekalkan alasan bahawa aku akan memberikan buku ini sebagai hadiah kepada seorang rakan, aku mengambil kesempatan seluas luasnya untuk membaca dan menikmati buku ini, bukan sebagai buku terjemahan tetapi sebagai buah tangan Hamka yang sekalipun bukan tulisan asalnya, tetapi di dalamnya terdapat khazanah-khazanah kesusasteraan dan langgam bahasa yang sinonim dengan corak kepengarangan Hamka. Latarbelakang Buku Bu